JAKARTA: Sarawak bersedia bekerjasama dengan Indonesia dan Singapura untuk membangunkan Grid Tenaga ASEAN di dasar laut sebagai sebahagian daripada usaha membekal tenaga di wilayah Asia Tenggara, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Berucap pada sidang ‘Renewable Hydropower – Powering Sustainable Growth & Asia’s Net Zero’ di sini, beliau berkata, pembinaan Grid Tenaga ASEAN itu merangkumi Grid Tenaga Borneo.
Beliau berkata, Sarawak Energy bersama rakan kongsi Sembcorp Industries dan Singapore Power Group telah selesai menjalankan kajian teknikal menyeluruh bagi mewujud kesalinghubungan bekalan tenaga ke Singapura.
Menurut Premier Sarawak, kesalinghubungan bekalan tenaga terus ke Singapura itu direstui oleh Perdana Menteri, Dato Sri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat antara Malaysia dengan Singapura dua hari lalu.
Berdasarkan semangat positif ASEAN dan menghormati kedaulatan dan kepentingan Indonesia, beliau berkata, Sarawak akan mengadakan perbincangan rasmi dengan Indonesia untuk melaksanakan projek kesalinghubungan tenaga dasar laut yang dicadangkan melalui perairan Indonesia.
Kesalinghubungan tenaga itu merupakan satu daripada mekanisme mencapai perkongsian matlamat wilayah mampan di rantau ini, katanya.
Menurut Premier Sarawak lagi, dengan tenaga hidro sebagai sumber menjana tenaga diperbaharui akan mempercepatkan pembangunan Grid Tenaga ASEAN.
“Sarawak bangga kerana memain peranan dalam membangunkan perkongsian grid di Borneo dan bekerjasama dengan Indonesia dan Singapura untuk membangunkan Grid Tenaga ASEAN,” katanya.
Justeru, beliau berharap dapat membina perkongsian dan kerjasama bersama untuk membangunkan tenaga mampan di Asia Tenggara melalui perkongsian tenaga hidro diperbaharui.
Bekalan pertama tenaga Sarawak ke Indonesia melalui perkongsian dengan Perusahaan Listrik Negara (PLN) ke Kalimantan Barat pada 2016, katanya.
Dengan ini, katanya ia membuktikan faedah dapat dikecapi bersama melalui kesalinghubungan tenaga dan membuka jalan kepada projek kesalinghubungan tenaga bilateral ke Grid Borneo.
Sarawak berada di hadapan dalam peralihan tenaga dengan menggunakan sumber tenaga diperbaharui seperti air, solar dan angin, kata Abang Johari.
Beliau menambah, Sarawak Energy kini membangun projek perintis 50MW tenaga solar dari empangan hidro Batang Air yang dijadual beroperasi pada 2024.
Sarawak turut membangunkan pengeluaran ammonia hijau, gas metanol dan hidogran yang dijadual membuat pengeluaran secara komersial pada 2028 melalui dua usaha sama berasingan dengan pelabur Jepun dan Korea dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.
Hadir sama pada majlis itu Presiden Indonesia, Joko Widodo, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Arifin Tasrif, Presiden Persatuan Tenagahidro dan Susuhanjaya Perancang Iklim Antarabangsa, Malcolm Turnbull dan Ketua Pengarah Tenaga Diperbaharui dan Pemuliharaan Tenaga Indonesia, Yudo Dwinnanda Priaadi.
GAMBAR: Congress Secretariat International Hydropower Association
Sumber dari : Jiwa Bakti